LAMPIRAN II

PERANAN LEMBAGA KEMAJUAN PERINDUSTRIAN MALAYSIA (MIDA)
DALAM SEKTOR PERINDUSTRIAN,
1979-1995

oleh
XYZ

Latihan Ilmiah Untuk Memenuhi Keperluan
Ijazah Sarjana Muda Sastera
Jabatan XYZ

Fakulti Sastera Dan Sains Sosial
Universiti Malaya
Kuala Lumpur
1998/99

MASALAH KAJIAN

Bersesuaian dengan tajuk tesis, "Peranan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) Dalam Sektor Perindustrian, 1979-1995", persoalan utama yang akan diperinci dalam kajian ini ialah sejauhmanakah peranan yang dimainkan oleh Malaysian Industrial Development Authority (MIDA) telah membawa kepada perkembangan sektor perindustrian di Malaysia yang merupakan penggerak utama bagi perkembangan ekonomi negara terutamanya dalam tahun-tahun 1980 dan 1990-an.

Persoalan kajian ini akan dikupas dengan pertama, mengesan sejarah awal penubuhan MIDA di antara tahun 1967 hingga 1978; kedua mengkaji peranan MIDA dalam waktu transisi dari Federal Industrial Development Authority (FIDA) -MIDA dalam era berorientasikan eksport antara tahun 1979 dan 1980; ketiga meneliti peranan MIDA dalam era industri berasaskan bahan mentah antara tahun 1981-1985; keempat mengkaji peranan MIDA dalam era industri berintensifkan modal dan berteknologi tinggi antara tahun 1986-1990; kelima meneliti peranan MIDA dalam era berteknologi tinggi dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara tahun 1991-1995; iaitu antara satu tempoh masa yang menyaksikan perkembangan pesat dalam sektor perindustrian dibawah kepimpinan Dr.Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Tajuk ini dipilih sebagai kajian tesis berdasarkan "literature review" yang telah dibuat ke atas penulisan tentang MIDA dalam sektor perindustrian. Setakat ini hanya satu kajian khusus yang telah dibuat tentang MIDA dan ianya adalah latihan ilmiah yang dihasilkan pada 1991. Tajuk latihan ilmiah ini ialah "Federal Industrial Development Authority (FIDA) and Development in Malaysia" (Appudurai Ganaran Ganasan, 1969/70).

Kajian-kajian lain yang sedia ada tentang MIDA hanya meliputi bidang-bidang yang spesifik dan tidak memperkatakan tentang sumbangannya kepada perkembangan industri. Antara kajian-kajian tersebut ialah Ranjini Balakrisnan (1997/98) yang membicarakan tentang pelaburan asing di Negeri Sembilan dan M.C.Lamin (1993/94) yang memperkatakan tentang peranan pelaburan asing langsung di Malaysia. Chon Huay Ye (1994/95) juga memperkatakan tentang pelaburan asing di Malaysia.

Di samping itu, terdapat juga buku-buku akademik yang membincangkan tentang Sejarah Ekonomi Malaysia dengan menyentuh sepintas lalu peranan MIDA. Kekurangan kajian-kajian ini ialah ia tidak memberikan penekanan kepada sumbangan MIDA kepada perkembangan industri. Antara penulisan tersebut ialah oleh Jomo Kwame Sundaram (1993) dan Harcharan Singh Khera (1972).

SKOP KAJIAN

Kajian ini ditumpukan kepada peranan MIDA dalam sektor perindustrian di antara tahun 1979-1995. Tumpuan diberikan kepada tahun 1979 kerana pada tahun inilah badan ini telah mendapat nama baru iaitu MIDA. Jangkamasa antara 1979-1995 telah dipilih sebagai skop kajian kerana dalam tempoh inilah peranan MIDA telah bertambah sejajar dengan perkembangan ekonomi negara dan keperluan negara. Tambahan pula, tempoh ini juga memperlihatkan perkembangan pesat sektor perindustrian negara terutamanya selepas tahun 1987.

Keseluruhan tesis ini dibahagikan kepada 6 bab. Dalam bab pertama, tumpuan diberikan kepada sejarah awal penubuhan MIDA iaitu sejak penubuhan FIDA pada tahun 1967 hingga 1978. Dalam bab ini, perbincangan ditumpukan kepada latar belakang MIDA secara umum iaitu fungsi FIDA, struktur organisasi FIDA, kedudukan kakitangan, penubuhan pejabat-pejabat FIDA di dalam dan luar negara, aktiviti-aktiviti penting yang telah dijalankan oleh FIDA di antara tahun 1967-1978 dan peranan FIDA dalam sektor perkembangan ekonomi Malaysia dari tahun 1967-1978.

Dalam bab kedua, perbincangan ditumpukan kepada MIDA dalam transisi dari FIDA-MIDA dalam era industri berorientasikan eksport, 1979-1980. Perbincangan dalam bahagian ini akan merangkumi struktur organisasi MIDA, aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh setiap bahagian iaitu bahagian perancangan dan penyelidikan, bahagian kajian perindustrian, bahagian perusahaan kejuruteraan, bahagian hal ehwal wilayah, bahagian pentadbiran, bahagian unit pusat, bahagian penilaian projek, bahagian penganjuran dan perhubungan awam, bahagian tarif, bahagian susulan projek serta penempatan industri, kemajuan pelaksanaan projek-projek yang diluluskan dan pertumbuhan sektor perkilangan dan ekonomi negara.

Bab ketiga, kempat dan kelima membincangkan peranan MIDA dalam era industri berasaskan bahan mentah dan berorientasikan eksport, 1981-1985; MIDA dalam era industri berintensifkan modal dan berteknologi tinggi, 1986-1990 dan MIDA dalam era industri berteknologi tinggi dan R&D, 1991-1995. Dalam kesemua tempoh waktu ini, perbincangan akan difokuskan kepada perkara-perkara yang dibincangkan dalam bab-bab sebelumnya iaitu perihal struktur organisasi MIDA, aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh setiap bahagian, kemajuan perlaksanaan projek-projek yang diluluskan dan perkembangan sektor perkilangan dan ekonomi negara.

Bab keenam adalah bab terakhir dalam kajian ini. Bab ini mengandungi rumusan dan pandangan menyeluruh ke atas peranan yang telah dimainkan oleh MIDA dalam sektor perindustrian serta cabaran-cabaran yang akan dihadapi oleh MIDA dalam perkembangan sektor perindustrian bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.

PERIPENTING KAJIAN

Sehingga kini, tidak ada kajian khusus tentang sejarah perkembangan MIDA mahupun peranan MIDA dalam sektor perindustrian. Jomo Kwame Sundaram (1997, hlm.67) ada membincangkan tentang perkembangan sektor perindustrian dan sumbangan sektor ini kepada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) sejak zaman pemerintahan British dari tahun 1947 hingga 1995. Dalam kajian ini telah dinyatakan tentang penubuhan FIDA pada tahun 1967 yang kemudiannya dikenali sebagai MIDA pada tahun 1979 yang ditubuhkan untuk menggalakkan pelaburan asing dalam 2-3 baris sahaja .

Berdasarkan kajian-kajian yang sedia ada, kesemuanya membincangkan tentang perkembangan sektor perkilangan dan ekonomi negara, tetapi tidak ada yang mengaitkan MIDA dengan perkembangan sektor perindustrian. Antara kajian tersebut ialah George Cho (1992) yang membincangkan tentang perkembangan ekonomi Malaysia secara umum, perkembangan sektor perkilangan dan sumbangan setiap sektor kepada KDNK di antara 1960-1990. Menyedari akan kepentingan inilah, maka kajian tentang peranan MIDA dalam sektor perindustrian telah dibuat.

METODE KAJIAN

Kajian ini telah disempurnakan dengan meneliti sumber pertama dan kedua. Sumber-sumber pertama termasuklah Laporan Tahunan MIDA, 1967-1995; Laporan Kewangan, 1978/79-1995/96; Laporan Bank Negara Malaysia, 1978-1995; Intisari Perindustrian MIDA, Rancangan Malaysia Pertama hingga Ketujuh, MIDA Industrial Digest serta artikel dari surat khabar yang menyentuh tentang perkembangan MIDA. Sumber-sumber kedua pula terdiri daripada bahan-bahan bercetak yang membincangkan tentang perkembangan dan ekonomi negara secara am.

BACK