LAMPIRAN I

Pengaplikasian Kaedah Saintifik oleh
Ahli Sains Sosial
Sumbangan Kaedah Deduksi dan Induksi Dalam Penulisan:
Suatu Kes Studi Disiplin Sejarah
___________________________________________________________

Penulisan yang bersifat akademik baik dalam disiplin sejarah, geografi, sains, ekonomi atau mana-mana bidang lain harus menggunakan pendekatan yang bersifat ilmiah. Dalam penulisan sejarah, unsur kajian amat penting. Ini kerana kajian memajukan bukti yang bebas untuk mengesahkan kebenarannya, jika tidak ia tidak dapat dipertimbangkan sebagai suatu kajian sejarah (Suntharalingam, 1985, hlm. 5).

Sejarawan terkenal, Collingwood juga menekankan ciri kajian sebagai satu unsur penting dalam pengertian sejarah. Menurutnya kajian dalam sejarah adalah didasarkan kepada penafsiran bukti atau sumber-sumber yang sedia wujud, baik yang berbentuk tulisan mahupun kesan-kesan peninggalan lama. Peri-penting penyelidikan dalam sejarah telah disuarakan oleh Bapa Sejarah Yunani, Herodotus, sejak abad ke 5 S.M. lagi. Beliau telah menulis tentang Perang Parsi yang tercetus pada abad ke 5 S.M. berasaskan sumber-sumber seperti babad, kesan-kesan peninggalan lama serta temuramah dengan saksi-saksi yang masih hidup (Robinson, 1965, hlm.104).

Dalam menjalankan kajian tersebut baik secara disedari ataupun tidak disedari seseorang pengkaji sejarah mengamalkan dua jenis kaedah penyelidikan. Pertama kaedah deduksi dan kedua induksi. Deduksi mengikut Kamus Dwibahasa membawa pengertian membuat kesimpulan dengan berfikir mengikut logik. Manakala induksi pula membawa pengertian mendapat hukum yang umum dari hal atau misalan yang tertentu (Kamus Dwibahasa, 1989, hlm. 334). Mohammad Hatta dalam bukunya Alam Fikiran Yunani mendefinisikan deduksi sebagai huraian berkunci. Ia menarik kesimpulan dari kenyataan yang umum atas hal yang khusus, yang tersendiri. (Mohammad Hatta, 1982, hlm. 96).

Kaedah Deduksi

Gambaran jelas tentang kaedah deduksi boleh diperhatikan melalui contoh di bawah:-

Contoh A

1. Semua buku berkaitan dengan falsafah membosankan.

2. Buku ini berkaitan dengan falsafah.

3. Buku ini membosankan.

Dalam hujah di atas 1 dan 2 adalah premis (kenyataan atau dasar yang dijadikan sebagai asas penakulan) dan 3 adalah kesimpulan. Umum diketahui bahawa jika 1 dan 2 adalah benar maka 3 semestinya benar. Tidak mungkin untuk 3 menjadi tidak benar apabila telah dinyatakan 1 dan 2 adalah benar. Untuk 1 & 2 menjadi benar dan 3 tidak benar sudah tentu menimbulkan kontradiksi. Inilah kunci bagi deduksi yang logik. Satu lagi contoh yang hampir menyerupai kes A dengan sedikit perubahan dapat diperhatikan dalam contoh B. Kes ini menggambarkan deduksi yang tidak logik.

Contoh B

1. Kebanyakan buku berkaitan dengan falsafah membosankan.

2. Buku ini berkaitan dengan falsafah.

3. Buku ini membosankan.

Dalam contoh ini, 3 tidak sama dengan kenyataan 1 dan 2. Adalah mungkin untuk 1 dan 2 menjadi benar, tetapi 3 masih tidak benar. Namun begitu jika 1 dan 2 tetap benar tetapi buku ini mungkin merupakan sebuah buku yang tidak membosankan. Apabila 1 dan 2 adalah benar tetapi 3 bertentangan, hujah kes ini tidak sah. Andaikata "kebanyakan buku diganti dengan semua buku" maka 2 dan 3 adalah benar. Chalmers menyimpulkan hukum logik sebagai, "… if the premises are true then the conclusion must be true." (Chalmers, 1963, hlm. 7).

Hujah seperti di atas perlu dimajukan oleh penyelidik sejarah apabila berhadapan dengan fakta-fakta yang tidak logik. Untuk memastikan kelogikannya ia perlu dianalisa dari pelbagai sudut. Kaedah deduksi ini boleh dirujukkan kepada salah satu kes sejarah. Sebagai misalan parti I.M.P. (Independence Malayan Party) tajaan Dato Onn pada 1951. Di dakwa parti ini adalah parti pelbagai kaum. Sebelum dipastikan kaum-kaum yang mewakili parti ini, terlebih dahulu perlu dijelaskan maksud pelbagai kaum. Mengikut Kamus Dwibahasa "Multi-Racial" bermaksud berbilang bangsa. Oleh kerana IMP diwakili oleh kaum Melayu, China dan India maka benarlah ia sebuah pertubuhan berbilang bangsa. Deduksi tersebut boleh dibuat seperti di bawah.

Contoh C

1. IMP parti berbilang bangsa.

2. Ahli-ahli IMP terdiri dari kaum Melayu, India dan China.

3. IMP parti bersifat kebangsaan.

Perkara yang sama akan menjadi tidak logik jika kenyataan seperti di bawah dibuat.

Contoh D

1. Kebanyakan parti politik selepas Perang Dunia Kedua adalah parti berbilang bangsa.

2. IMP ialah parti berbilang bangsa.

3. IMP satu-satunya parti berbilang bangsa.

Kenyataan 3 ternyata tidak logik berbanding dengan 1 dan 2. Jika diteliti dalam 1, dinyatakan "kebanyakan parti"; ini bererti terdapat lebih dari satu. Dalam 2 pula dinyatakan "IMP parti berbilang bangsa"; ia memang berkait dengan 1 tetapi kenyataan 3 yang berbunyi "IMP satu-satunya parti berbilang bangsa" bertentangan dengan yang telah menegaskan terdapat lebih dari satu parti yang bersifat berbilang-bangsa. Dalam kes ini cukup jelas hujah 3 tidak logik. Oleh itu dalam penulisan sejarah, penulis haruslah berhati-hati dalam pemilihan perkataan apabila menyampaikan sesuatu fakta. Mengikut Barzun,

The reason for building sentences with care is to make sure that all portions of our thought hang together correctly for truth and coveniently for understanding (Barzun dan Graff, 1977, hlm. 245).

Dalam pengkajian sejarah, deduksi akan memungkinkan pengkaji berhadapan dengan sesuatu masalah dengan lebih realistik. Ia juga menjamin penyelidik tidak terbawa-bawa dengan fakta yang tidak logik. Hal ini boleh diperihalkan menerusi rajah di bawah:-

Rajah 1

Sumber: Logic II:Proof. (1971). London: The Open University Press. 5.

Rajah 1 mengutarakan fakta bahawa lelaki A berlumba dengan kura-kura di garisan B dengan kepantasan masing-masing. Dinyatakan apabila lelaki A sampai di B, kura-kura telah tiba di C dan bila A sampai di C, kura-kura telah tiba di D dan begitulah seterusnya. Kesimpulan dalam kes ini ialah lelaki A sama sekali tidak akan dapat mengejar dan mengalahkan kura-kura. Kesimpulan ini ternyata tidak logik. Hakikat yang perlu diterima ialah lelaki lebih pantas dari kura-kura dan dalam sekelip masa dapat menandingi kura-kura. Berdasarkan pertimbangan akal atau hukum logik rumusan rajah A dapat ditolak.

Kaedah Induksi

Selain dari kaedah deduksi, kaedah induksi juga turut digunakan oleh sejarawan dalam memecahkan sesuatu persoalan. Mohammad Hatta menyifatkan kaedah induksi sebagai, "… menarik kesimpulan tentang yang umum dari pengetahun yang diperoleh dalam pengalaman tentang hal-hal yang tersendiri," manakala Francis Bacon dalam bukunya Novum Organum menyifatkan kaedah induksi sebagai satu-satunya kaedah yang dapat membuktikan kebenaran. Menurutnya , "The Inductive Methode will bring greater light to the mind and will prove more truth". (Copleston, 1963, hlm. 114).

Kaedah induksi boleh dipecahkan lagi seperti di bawah:

a) Pemilihan Masalah

b) Hipotesis/Teori Sementara

c) Pengumpulan Data dan Fakta

d) Pengamatan Data dan Fakta

e) Pemilihan Data dan Fakta

f) Kesimpulan Am

g) Pengujian Terhadap Kesimpulan Am Melalui Kajian dan Percubaan Empiris

h) Penilaian, Menerima atau Menolak, Menambah atau Mengubah Hipotesis

i) Rumusan Teori Ilmu Pengetahuan/Kesimpulan Muktamad.

Kaedah induksi ini boleh diaplikasikan kepada sejarah dengan mengkaji kes "Raja Kechil-Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah 1718-1722: Suatu Kajian Tentang Asal-Usulnya" yang ditulis oleh Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali dalam Jernal Sejarah Melaka, Bil.6, 1981.

Persoalan yang ingin dipecahkan oleh pengarang boleh dibahagikan seperti di bawah.

Masalah

Apakah Raja Kechil anak Sultan Mahmud mangkat dijulang?

Hipotesis

Penulis ragu-ragu sama ada Raja Kechil anak Sultan Mahmud. Ini berasaskan tulisan penulis ternama L.A. Andaya yang menyifatkan asal-usul Raja Kechil sebagai, "His origins are still a matter of speculation …"(Andaya, 1973, hlm. 73).

Pengumpulan Data dan Fakta

Dalam sejarah, sumber-sumber boleh dibahagikan kepada dua. Pertama sumber pertama yang menjadi saksi utama data sejarah, ia termasuk rekod-rekod dan makalah yang tersimpan di Arkib dan sumber kedua berupa bahan bercetak seperti buku-buku teks, majalah, jernal dan wawancara dengan tokoh yang masih hidup dengan zaman yang menjadi topik perbincangan.

Pemilihan Fakta

Dalam memecahkan persoalan Raja Kechil, penulis telah memilih dan menggunakan sumber-sumber seperti Salsilah Melayu dan Bugis, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Siak, Hikayat Johor dan bahan Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society ( JMBRAS).

Penafsiran Data dan Fakta

Bedasarkan data yang diperolehi, pengarang telah membuat penafsiran yang cukup menarik. Penafsiran ini dibuat berasaskan andaian. Andaian penting kerana kebenaran bermula dari andaian.

The historian arrives at truth through probability … this does not mean "a doubtful kind of truth, but a firm reliance on the likelihood that evidence which has been examined and found solid is veracious" (Barzun dan Graff, 1977, hlm. 83).

Berdasarkan sumber-sumber yang dikaji ternyata hampir kesemuanya menyatakan Raja Kechil ialah anak Che Pong. Che Pong adalah anak Laksamana dan gundek kepada Sultan Mahmud. Sumber-sumber yang mengaitkan Raja Kechil dengan Che Pong ialah Tuhfat al-Nafis dan Hikayat Siak. Sumber Trengganu pula tidak menafikan bahawa Sultan Mahmud pernah mengadakan hubungan jenis dengan Che Pong.

Andaya dalam bukunya The Kingdom of Johore 1641-1728, juga turut menyokong sumber Siak dan Trengganu bahawa Raja Kechil adalah anak Sultan Mahmud hasil perhubungan jenisnya dengan Che Pong. Satu lagi persoalan menarik yang ditimbulkan oleh pengarang ialah jika sekiranya Raja Kechil bukan putera Sultan Mahmud mengapa Orang Laut memberikan sokongan kepadanya? Menurut penulis, Orang Laut adalah pengikut setia keturunan Kesultanan Melaka. Tambahan pula Raja Kechil pernah diserahkan oleh Laksamana kepada Raja Negara Selat iaitu Ketua Orang Laut. Ini mengukuhkan lagi penghujahan bahawa Raja Kechil adalah anak Sultan Mahmud. Fakta inilah yang seterusnya mendorong Orang Laut memberikan sokongan padu kepada Raja Kechil yang sebelumnya pernah dipelihara oleh ketua mereka, Raja Negara Selat.

Kesimpulan Am

Berdasarkan interpretasi yang dilakukan terhadap sumber-sumber yang diperolehi, penulis membuat kesimpulan am bahawa Raja Kechil sememangnya anak Sultan Mahmud mangkat dijulang. Apa yang dilakukan oleh pengarang ialah menafsir fakta yang boleh disifatkan sebagai tulang-tulang kering, "The facts never speak for themselves, they must be selected, marshaled, linked together and given a voice" (Barzun dan Graff, 1977, hlm. X).

Pengujian Kesimpulan Am

Pengarang telah menguji kesimpulan am dengan meneliti sumber-sumber yang mempersoalkan kesahihan Raja Kechil sebagai anak Sultan Mahmud. Antaranya keraguan Winstedt berdasarkan Sumber Belanda 15.2.1745 yang mencatitkan Raja Kechil telahpun tua. Ini bererti ketika beliau menyerang Johor pada 1699 usianya hanya 19 tahun. Ternyata ini tidak masuk akal.

Penilaian

Dari pengujian kesimpulan am ternyata hampir kebanyakan sumber, antaranya Tuhfat-al-Nafis, Hikayat Siak, Rekod The Dutch East India Company and The Straits of Malacca 1700-1784, Hikayat Johor, History of Johore, Salsilah Melayu dan Bugis dan The Kingdom of Johor mengaitkan nama Sultan Mahmud dengan kehamilan Che Pong. Keadaan ini mendorong penulis menerima kesimpulan am bahawa Raja Kechil sememangnya anak Sultan Mahmud mangkat dijulang.

Kesimpulan Muktamad

Berdasarkan sumber-sumber yang dianalisa secara kritis nyata Raja Kechil sememangnya anak Sultan Mahmud. Ini berdasarkan kesemua sumber dengan kukuh mengaitkan kehamilan Che Pong dengan Sultan Mahmud. Mengikut pengarang, sumber-sumber seperti Tuhfat al-Nafis, Salasilah Melayu dan Bugis, The Kingdom of Johor dan Hikayat Siak mencatitkan bahawa Che Pong mengandung kerana hubungannya dengan Sultan Mahmud. Walaupun ia tidak dinyatakan secara terus terang tetapi kesemua sumber ini tidak menolak kemungkinan Raja Kechil adalah anak Sultan Mahmud. Oleh kerana begitu banyak sumber yang mengaitkan Sultan Mahmud dengan Che Pong, pengarang telah menyimpulkan bahawa Raja Kechil atau Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah adalah putera Sultan Mahmud mangkat dijulang.

Cara bagaimana Dr. Abdullah Zakaria menemui solusi kepada suatu fakta yang mentah dapat difahami melalui kenyataan di bawah.

Facts do not speak for themselves: The are meaningless and powerless without a human mind to give them shape, form, organization, sequence, interrelationship, and significance. The historian selects only the evidence that he considers important; he puts it into a context of other events that he thinks are related and relevant; and he interprets and evaluates the whole in the light of his unique purpose. All this is done in a way that reflects, consciously or unconsciously, the historian's philosophy of history. He then presents the evidence-usually through writing or teaching-as clearly, elegantly, understandably, usefully and meaningfully as he is able (Nash, 1970, hlm. 10-11).

Berdasarkan kesimpulan muktamad, jelas pengarang telah mendapat hukum yang umum dari hal atau misalan yang tertentu. Hukum umum dalam kes ini ialah Raja Kechil ialah anak Sultan Mahmud berasaskan sumber Siak, Riau, Trengganu, Johor dan lain-lain yang mengaitkan kelahiran Raja Kechil hasil hubungan jenis Sultan Mahmud dengan Che Pong.

Berdasarkan perbincangan panjang lebar di atas nyatalah kaedah induksi dan deduksi berfaedah dalam pengkajian sejarah. Kedua kaedah ini, bukan sahaja dapat memecahkan sesuatu persoalan sejarah dengan logik tetapi juga dapat menggalurkan cara ia ditemui secara sistematik.

BACK